|
Tebingan Telaga Air |
Pengembaraan kami bermula dari jeti Kampung Telaga Air, sebuah kampung yang sinonim di kalangan kaki pancing sekitar Bandaraya Kuching. Kampung ini juga terkenal di kalangan warga tempatan kerana pemandangan lautnya yang mempesona. Mencantikkan lagi kawasan sekitar, Tebingan Telaga Air telah dibina bagi memudahkan pengunjung bersiar-siar sambil menikmati panorama semulajadinya.
|
Kapal Untuk Kaki Pancing |
Dengan kadar bayaran hanya RM75 seorang termasuk penginapan, perjalanan menggunakan bot dari jeti Telaga Air menuju ke Pulau Satang Besar hanya memakan masa kira-kira 30 minit bergantung kepada keadaan laut.
|
Pulau Satang Kecil |
Selain Pulau Satang Besar, terdapat beberapa lagi pulau lain yang berkongsi perairan yang sama. Antara pulau-pulau tersebut, Pulau Satang Kecil dan Pulau Burung adalah yang paling hampir. Kami hanya mampu melewati kedua-dua pulau ini memandangkan keadaan laut bergelora yang tidak memungkinkan kami untuk berlabuh di kedua-dua pulau itu, walaupun untuk seketika pada waktu itu (dan gambar hanya dapat dirakamkan ketika perjalanan pulang).
|
Pulau Burung |
Sebaik sahaja sampai ke Pulau Satang Besar, baharu kami memahami mengapa pulau ini seakan mengasingkan diri dari dibanjiri pengunjung. Selain merupakan milik persendirian, pulau ini juga merupakan tempat penetasan dan pembiakan penyu yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Sarawak. Menurut Encik Bolhassan atau Abang Bol, pengurus amanah pulau ini, sekitar Mei hingga Oktober adalah tempoh yang sesuai sekiranya pembaca bercadang melihat penyu mendarat untuk bertelur. Andai bernasib baik, anak-anak penyu yang baru menetas turut dapat disaksikan. Justeru, kerana tidak mahu mengganggu pembiakan penyu, maka kemasukan pelawat ke pulau ini dihadkan pada satu-satu masa. Nasib kami kurang baik kali ini sebab kedatangan kami bukan pada waktu penyu membiak. Kami hanya berkesempatan melihat jejak-jejak penyu yang ditinggalkan beberapa minggu sebelumnya.
|
Jejak Si Penyu |
|
Pusat Penetasan Telur Penyu |
Secara jujurnya, pulau ini tidaklah seindah Pulau Tioman ataupun menawan seperti Pulau Perhentian. Namun, tuhan maha adil lantaran setiap ciptaan-Nya pasti dianugerahkan kelebihan tersendiri.
Pantai berpasir Pulau Satang tidaklah begitu panjang, dianggarkan sekitar 1.5km sahaja. Selebihnya, dikelilingi oleh pantai berbatu serta tebing yang tinggi. Namun, kombinasi inilah yang menjadikan pulau ini lebih menarik kerana selain dapat menikmati persekitaran yang berpasir, pengunjung juga berpeluang menyaksikan struktur batuan yang pelbagai rupa, warna dan saiz.
|
Pelbagai Warna |
|
Pelbagai Rupa |
|
Batuan yang Bagai Dihiris-hiris |
|
Pantai Pulau Satang Besar - Terdapat juga beberapa orang pelancong asing turut bercuti di sini. |
|
Pantai Bebatuan - Hati-hati ketika berjalan di sini kerana permukaan batunya amat licin. |
|
Tebing Bebatuan- Boleh dilawati melalui bot atau meredah hutan (jungle tracking) |
Mengikut kata Abang Bol lagi, buat peminat acara lasak, mereka boleh mencuba aktiviti meredah hutan dan mendaki bukit. Walaupun tidak terlalu tinggi, pendakian dikatakan agak mencabar kerana bukit di situ agak menegak di samping trek yang licin lantaran berlopak dan jarang dilalui. Hutan di pulau ini pula tidaklah begitu besar namun masih segar kerana dijaga dengan rapi dan belum lagi diterokai. Suasana hutan hujan tropika masih lagi dapat dirasai.
|
Berkayak- Menyeronokkan |
Bagi pengunjung yang gemar akan aktiviti air, mereka boleh berkayak mengelilingi pulau sambil mengkhayati panorama tebing bebatuan serta kehijauan hutannya samada secara individu atau berkumpulan. Namun, keinginan tersebut haruslah dimaklumkan terlebih dahulu dengan pihak pengurusan agar mereka dapat menyediakan kelengkapan yang diperlukan. Ini adalah kerana kelengkapan tersebut tidak terdapat di pulau melainkan di bawa dari pusat pentadbiran di Telaga Air.
|
Mandi-manda sambil snorkeling |
Di Pulau Satang besar ini juga terdapat beberapa bahagiannya memiliki batu karang yang cantik. Dengan keadaan air yang jernih, sudah pasti kepelbagaianya dan aneka ikan dapat dilihat dengan jelas tatkala melakukan aktiviti
snorkeling. Namun peralatan
snorkeling haruslah dibawa sendiri oleh pengunjung.
|
Aksi salah seorang ahli Team Skalo Kayo mengapungkan badan |
|
Indah |
|
Cantik |
|
Kawasan Penginapan- Tiada penyaman udara atau restoran mewah. |
Peringatan!!..Pulau Satang Besar tidak sesuai bagi pasangan yang sedang berbulan madu ataupun bersantai bersama ahli keluarga. Begitu juga untuk individu yang ingin merehatkan badan mahupun minda. Penginapan di sini bukanlah berstatus bintang, hanya pondok-pondok kecil yang berkapasiti 3 orang bagi setiap pondok.
Bekalan elektrik dijana oleh sebuah generator yang dihidupkan dari jam 6 petang hingga 10 malam. Tiada kipas syiling apatah lagi penyaman uadara. Tidur pula bukan beralaskan tilam empuk melainkan berlapik tilam nipis sahaja. Tiada kedai makan apatah lagi restauran mewah. Pengunjung perlu membawa bekalan makanan dan bermasak sendiri. Kemudahan catering hanya akan disediakan sekiranya terdapat permintaan daripada pengunjung yang datang secara beramai-ramai.
Walaupun kemudahan asas di sini kurang memuaskan (bagi sesetengah orang barangkali), kami pasti pengalaman yang dikutip, keseronokan yang dirasai, cabaran yang diredahi dan keindahannya yang tersendiri mampu membuat siapa sahaja yang pernah berkunjung ke sini bakal kembali lagi.
|
Senja Di Pulau Satang Besar- Tenang dan nyaman |
Pastinya catatan yang serba ringkas ini tidak mampu mengungkap sepenuhnya ceritera Pulau Satang Besar. Penjelajahan selama 2 hari belum cukup untuk kami memahami isi alamnya. Terlalu banyak khazanah yang masih terpendam di pulau ini yang perlu diselongkar agar kekayaan alamnya itu dapat dihayati bersama. Sesuatu harus dilakukan bagi memperkenalkan pulau yang punya tarikan dan pesona tersendiri ini. Rugi sekiranya pulau yang memiliki potensi besar ini diperap begitu sahaja tanpa ada usaha untuk mempopularkannya menjadi salah satu destinasi pelancongan yang digemari.
|
KREW SKALO KAYO
|
ANDAI ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN- nang nya kedak ya.....
Krew Produksi
Jurukamera- Baring
Prop Dan Lokasi- Glen
Pengangkutan Dan Penginapan- Kadey
Caterer- Huzai
Lagu Tema "Sayang"- Suhai
Tugas-Tugas Khas- Alim
Penulis Skrip- Dee Lah
TERBITAN- SKALO KAYO CREW
Blog yang menarik dan berguna
BalasPadam