Catatan Semasa

Khamis, 21 Februari 2013

SARAWAK RIVER CRUISE - PENANGAN PELAYARAN DI KALA MALAM

Sarawak River Cruise - Menyelusuri Panorama Malam


Sarawak River Cruise merupakan perkhidmatan Kapal Persiaran pertama menyelusuri Sungai Sarawak. Pakej yang telah diadakan semenjak beberapa tahun lepas ini memberi peluang kepada pengunjung terutamanya pelancong asing untuk berkongsi fakta dan memahami hubungan akrab antara Sungai Sarawak dan Bandaraya Kuching dengan lebih mendalam. Sejurus melalui lokasi-lokasi penting dan bersejarah, para penumpang akan diperjelaskan secara ringkas berkenaan tempat-tempat tersebut. Antaranya, Masjid Bahagian Kuching, Astana, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), Perkampungan Melayu di sepanjang sungai, Tebingan Kuching serta banyak lagi tempat-tempat menarik.

Kebiasaanya, perjalanan Sarawak River Cruise bermula pada jam 5.30 petang hingga 7.00 malam setiap hari. Tiket-tiket masuk boleh didapati di kaunter jualan yang dibuka dari jam 10 pagi berhampiran jeti. Pelayaran akan melewati Masjid Bahagian Kuching di Hilir sungai dan mudik semula ke hulu sehingga melepasi Jambatan Tun Sallehuddin (Jambatan Tol) sebelum kembali ke jeti. Bayaran yang dikenakan adalah RM60 seorang bersama hidangan Kek Lapis Sarawak dan minuman sirap. Namun, kapal persiaran ini juga boleh dicatar untuk majlis-majlis tertentu.

Lantaran terlalu kerap menyaksikan pelayaran Sarawak River Cruise merentasi Sungai Sarawak, Kaki Kayo menyimpan hasrat untuk merasai sendiri pengalaman menaikkinya satu hari nanti. Bagai, pucuk dicita ulam mendatang, kesempatan yang ditunggu akhirnya tiba tatkala menerima jemputan daripada seorang sahabat untuk meraikan majlis sambutan Hari Lahir salah seorang ahli keluarga beliau yang akan dilansungkan di atas Sarawak River Cruise tersebut.
Sarawak River Taxi - Lebih Murah
River Boat - Perjalanan Siang Sahaja
Sebagai info, selain Sarawak River Cruise, pengunjung juga boleh menggunakan Sarawak Traditional Boat, Sarawak River Taxi dan River Boat untuk menyelusuri Sungai Sarawak dengan kadar yang lebih murah berbanding Sarawak River Cruise. Perlu diingat, Perahu Tambang hanyalah perkhidmatan untuk menyeberang sungai dari kedua-dua tebing.

Masih Relevan - Perahu Tambang
Sebagaimana yang dijadualkan, para hadirin mulai memenuhi Jeti Srawak River Cruise yang terletak di Tebingan Kuching jam 7.30 malam. Para penumpang dialu-alukan oleh Penyambut Tetamu yang berpakaian tradisi Sarawak di pintu masuk, sebagai salah satu cara mempromosi keunikan etnik di Sarawak. Cuaca yang baik pada malam itu bagai merestui perancangan kami.
"Receptionist" Berpakaian Tradisi Kaum-di Kaum Sarawak
Sarawak River Cruise sebuah kapal yang lengkap. Ianya boleh memuatkan seramai 100 penumpang pada satu-satu masa. Di tingkat bawah kapal, dekorasi agak ekslusif menempatkan sebuah kaunter air (bar), beberapa set meja makan serta ruang untuk pentas andai terdapat acara seperti yang saya hadiri ini.
Antara Jemputan Yang Hadir


Tingkat Bawah - Ekslusif
Selain itu, ruang tingkat bawah juga selesa untuk acara yang berkapasiti 50-70 orang. Setiap meja menyediakan empat tempat duduk. Untuk acara tertutup, selain menu yang ditawarkan, pelanggan juga boleh meminta hidangan mengikut kemahuan masing-masing.
Tingkat Bawah - Menjamu Selera

Tatkala menjamu selera, penumpang juga boleh menikmati panorama sekitar Sungai Sarawak melalui tingkap berkaca. Namun, pada malam itu para tetamu bagai tidak kisah pemandangan di luar lantaran makanan yang disajikan meneyelerakan sekali. Sambil menjamah hidangan, acara-acara rutin sambutan Hari Lahir seperti doa selamat, ucapan dan memotong kek serta beberapa aktiviti selingan turut dilangsungkan.

Usai menjamu selera, kami naik ke dek kapal untuk mengambil angin sambil menghayati panorama persekitaran Sungai Sarawak di waktu malam.

Dek Kapal- Sambil menikmati panorama malam
Pelayaran begitu tenang sambil disapa angin yang perlahan. Sememangnya pemandangan  malam di persekitaran Sungai Sarawak melaui persiaran ini amat berbeza sekali. Lampu neon yang menerangi setiap bangunan di tebingan mencorakkan suasana indah tatkala memantulkan beraneka warna cahaya dari permukaan sungai. Hiasan lampu yang menerangi  Astana dan DUN baru turut menggamit indera.


 Astana - Pemandangan Malam
Nyaman dan selesa, itulah yang dapat disimpulkan tatkala kali pertama menaiki Sarawak River Cruise ini. Sudah semestinya memberi keterujaan yang berbeza berbanding memudiki Sungai Sarawak di siang hari. Seharusnya, kita berasa bangga dengan keberadaan persiaran yang unik ini.
Dewan Undangan Negeri
Lantaran terlalu leka bercerita serta asyik dengan panorama malam di Sungai Sarawak, perjalanan yang memakan masa 1 jam 30 minit, tidak terduga pantasnya. Biarpun sementara, pengalaman seumpama ini begitu berharga dirasa. Sekurangnya nanti saya tidak mati akal sekiranya ada orang luar bertanya tentang Sarawak River Cruise kerana tidak ramai yang pernah merasainya. Kekadang masyarakat kita terlalu tipikal terhadap negeri sendiri sedangkan keterbiasaan bagi kita itulah luar biasa bagi orang lain. Betapa kita harus menyedari bahawasanya di negeri kita ini tidak kurang tempat-tempat yang cantik. Biarpun acap kali memandang, cubalah nikmatinya dengan cara belainan kerana pasti pengalamannya juga akan berbeza walaupun ianya adalah tempat yang sama. Lihatlah persekitaran kita dari dimensi yang pelbagai, nescaya apa yang kita jumpa akan beraneka juga.

 Tebingan Kuching di kala malam
 
Serangkap lirik dari Lagu Sri Sarawak

Sayang Sarawak Sungainya Sempit
Nakhoda kapal bersusah hati
Hendakku bawa perahu ku sempit
Hendakku tinggal tak sampai hati

...............................................
..............................................

Begitu istimewa Sungai Sarawak sehingga ada lagu mengisahkannya.

Kamek Sayang Sarawak.