Catatan Semasa

Rabu, 21 November 2012

KEM PERMAI - SETENANG NAMANYA



Destinasi percutian Kaki Kayo kali ini adalah Kem Permai. Sebuah tempat yang acap kali digunakan untuk aktiviti motivasi atau bina semangat oleh jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah mahupun pihak swasta.  Taman yang berkonsepkan hutan dan pantai ini telah diwujudkan sejak 21 tahun lepas. Terletak di kaki Gunung Santubong serta menghadap Laut China Selatan, membuatkan Kem Permai bukan sahaja popular kepada pengunjung tempatan malah kepada pelancong luar terutama peminat belantara dan alam semulajadi. Gabungan antara hutan hujan dan lembah pantai ini telah mewujudkan panorama yang indah lagi permai. Barangkali dari senario inilah namanya diilhamkan. 

Perjalanan hanya mengambil masa 30 minit dari pusat Bandaraya Kuching kerana lokasi Kem Permai berada di luar kawasan trafik yang sesak. Ditambah dengan keadaan jalan yang agak baik, menjadikan pemanduan lebih lancar. Di sepanjang jalan, kita akan dihidangkan dengan pemandangan hutan hujan muda yang memberi kehidupan  kepada habitat semulajadi Gunung Santubong, gunung yang penuh mitos dan lagenda. Lebih menyeronokkan tatkala kenderaan kami merentasi bukit-bukau, jalan berliku serta selekoh tajam!
Pintu Masuk Kem Permai
Bagi pengunjung yang membawa kenderaan sendiri, pakir kereta disediakan dengan pengawasan 24 jam. Setiap pengunjung akan dikenakan bayaran masuk mengikut kadar dan peringkat umur yang dianggap berpatutan. Di kaunter  pintu masuk ke Kem Permai, terdapat kedai menjual cenderahati berupa pakaian, kraftangan, kuih tradisional dan lukisan.

Kadar Bayaran Masuk
Ini bukanlah kunjungan yang pertama buat geng Kaki Kayo. Malah, bukan juga yang kedua tetapi yang keempat selepas kali terakhir pada 8 tahun lepas. Dari luaran tidak banyak yang berubah. Masih menghijau nan meluas. Sewajarnya anugerah Ilahi ini harus dijaga dan dikekalkan agar manfaatnya turut dirasai oleh generasi yang akan datang.

NO. 17 - Penginapan Kaki Kayo
Usai mendaftar, Kaki Kayo menuju ke chalet yang telah ditempah seminggu lepas. Bahang panas tidak dirasai lantaran dipayungi oleh pepohon yang merimbun di sepanjang laluan ke chalet kami. Halwa telinga kami turut disajikan dengan nyanyian unggas, cengkerik, burung serta hembusan bayu laut yang mendamaikan. Pukulan sang badai juga sayup kedengaran. 10 minit berjalan kami telah sampai ke chalet No.17 yang dilengkapi dengan kemudahan bilik air, peti sejuk, penghawa dingin, cerek elektrik serta set ruang tamu. Chalet yang mempunyai 2 bilik tidur ini sesuai sekali untuk pengunjung yang menginap bersama keluarga ataupun secara berkumpulan seperti Kaki Kayo. Selain chalet, di Kem Permai ini turut menyediakan pelbagai variasi tempat penginapan. Antaranya Tree House, Long House, Log Cabin dan "camp site" bagi yang ingin berkhemah. Terpulang kepada pengunjung untuk memilih, mengikut kesesuaian dan bajet masing-masing.
Tree House
Kami berehat sebentar bagi menghilangkan lelah. Semetelahan lagi, keadaan di luar masih panas andai ingin ke pantai. Kesempatan ini digunakan untuk meninjau keadaan sekeliling. Cuaca yang baik membantu kami menikmati sepuasnya keindahan alam di Kem Permai. Terdapat beraneka flora yang menghiasi persekitaran, dari yang genit hinggalah sebesar balak. Dari yang amat dikenali kepada yang tidak pernah didengari namanya. Dari yang berdiri tegak kepada yang habitatnya menjalar. Tidak kurang juga dengan kehidupan fauna. Siamang, serangga, ular, burung turut menampakkan kelibat.
Laluan di Kem Permai
Jam 5.30 petang kami menuju ke Pantai Damai, pantai yang menyatukan Kem Permai dan Damai Puri Resort yang hanya terletak bersebelahan. Hembusan bayu yang longlai mencipta ombak yang perlahan, sesuai untuk acara air dalam cuaca yang kering begini. Selain mandi-manda, menyelusuri pantai dan bermain bola, terdapat aktiviti-aktiviti sampingan yang disediakan oleh pihak pengurusan Kem Permai kepada pelawat dengan kadar berpatutan. Antaranya Coastal Kayaking, Night Kayaking, Boat Trips, Banana Boats, Dolphin Watching at Satang Island dan Mangrove Tours.
Pantai Damai @ 1st Beach
Untuk aktiviti di darat atau 'outdoor' pengunjung boleh mencuba Wall Climbing, Trekking Expedition, High Rope Course, Low Rope Course, Birds Watching Tower dan mendaki gunung Santubong. Semua aktiviti tersebut akan disertakan perkhidmatan jurulatih atau penunjuk jalan.

Selain aktiviti-aktiviti yang disediakan di dalam Kem Permai, pelancong juga boleh menjelajah ke tempat-tempat berhampiran kem. Antaranya, Kampung Budaya Sarawak, Damai Central dan Pantai Puteri, yang boleh dijejaki dengan hanya berjalan kaki.

Pada sebelah malam, pengunjung boleh memilih samada untuk berbeku atau menjamu di Rainforest Cafe yang dibuka sehingga jam 10 malam. Bagi Kaki Kayo, kami  merancang untuk mencuba makanan laut di salah sebuah restauran yang terletak di tepi jalan menuju ke Kem Permai. Sebagai info, Kampung Buntal yang berada 10km dari Kem Permai juga  terkenal dengan restauran-restauran makanan lautnya.


Aksi Team Kaki Kayo Di Beach Seafood Restaurant
Menu pilihan Kaki Kayo  di restauran berkenaan adalah Ikan Kerapu Masak Tiga Rasa, Udang Masak Mentega, Ketam Masak Cili, Sup Timun Laut, Ambal masak kari, Sayur Campur, Sotong Kicap dan buahan sebagai pencuci mulut. Air kelapa muda serta jus buahan sebagai penghilang dahaga.

Setelah kekenyangan, seterusnya Kaki Kayo mengorak langkah ke Damai Central. Taman yang baru berusia 2 tahun ini memberi dimensi baru kepada pelawat yang gemar beriadah pada waktu malam. Terdapat tempat-tempat yang berunsurkan 'happennig' di sini. Kami hanya bersantai sambil menikmati keindahan landskap dan bayu laut. Penataan cahaya neon yang menarik menambah seri panorama malam itu.
Damai Central 
Setelah puas merentasi Damai Central di kala malam bulan mengambang, kami kembali ke chalet. Bagi memenuhi waktu terluang, kami bermain Dam Belon (Dam Kapal Terbang) sambil menonton movie (menggunakan laptop). Keriangan kami sedikit terganggu tatkala seorang rakan terperangkap di dalam bilik mandi kerana tombol pintu rosak (apa motif mandi tengah-tengah malam begini da). Suasana malam yang tenang dan selesa dek penghawa dingin, membuatkan tidur kami nyenyak waima bunyi "kuruh" bersimpang-siur.


Sarapan Di Rainforest Cafe
Keesokan paginya, kami bersarapan dahulu di Rainforest Cafe sebelum menyambung aktiviti selanjutnya. Kafe yang dibuka antara jam 0700-1000 (sesi sarapan) ini menyediakan menu barat dan tempatan sesuai dengan selera pelancong yang datang dari pelbagai latar belakang. Destenasi kami pagi ini adalah 2nd Beach yang hanya memakan masa 10 minit berjalan.


2nd Beach
Di 2nd Beach, pantainya tidak selandai dan seluas Pantai Damai. Bebatuan yang bertebaran di sepanjang pantai amat unik, seolah di sini pernah berlaku letupan, dahulu kala. Lekuk dan lubang pada bebatuan tersebut turut menjadi tanda tanya, bagaimana ianya berlaku? Warna pada bebatuan itu juga beraneka, mengapa begitu rupa? Pelik tapi menarik dengan cara tersendiri. Kami turut bermandi-manda di sini. Merasa sejuk dan masin airnya.

Selesai aktiviti bergambar di 2nd Beach, Kaki Kayo pulang ke chalet. Kami singgah dahulu di Jungle Pool (kolam buatan) untuk membersih diri dari air masin.
Jungle Pool
Kolam ini juga telah melalui proses perubahan. Dahulunya kecil, namun kini terdapat dua bahagian yang berbeza kedalamannya. Sekitar kolam turut ditempatkan bangku dan kaki lima. Keadaan air juga bersih, kurang kelodak yang diakibatkan oleh dedaun yang gugur dari pokok-pokok sekeliling. Masa membataskan aktiviti kami di sini. Setelah puas bermain air, kami kembali ke chalet untuk berkemas pulang. 
Aksi Team Kaki Kayo- Jangan Ditiru
Sahabat Selamanya - Terbang sama tinggi, mendarat sama rendah

"Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya." (Hadis Riwayat al-Hakim)