Catatan Semasa

Rabu, 21 November 2012

KEM PERMAI - SETENANG NAMANYA



Destinasi percutian Kaki Kayo kali ini adalah Kem Permai. Sebuah tempat yang acap kali digunakan untuk aktiviti motivasi atau bina semangat oleh jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah mahupun pihak swasta.  Taman yang berkonsepkan hutan dan pantai ini telah diwujudkan sejak 21 tahun lepas. Terletak di kaki Gunung Santubong serta menghadap Laut China Selatan, membuatkan Kem Permai bukan sahaja popular kepada pengunjung tempatan malah kepada pelancong luar terutama peminat belantara dan alam semulajadi. Gabungan antara hutan hujan dan lembah pantai ini telah mewujudkan panorama yang indah lagi permai. Barangkali dari senario inilah namanya diilhamkan. 

Perjalanan hanya mengambil masa 30 minit dari pusat Bandaraya Kuching kerana lokasi Kem Permai berada di luar kawasan trafik yang sesak. Ditambah dengan keadaan jalan yang agak baik, menjadikan pemanduan lebih lancar. Di sepanjang jalan, kita akan dihidangkan dengan pemandangan hutan hujan muda yang memberi kehidupan  kepada habitat semulajadi Gunung Santubong, gunung yang penuh mitos dan lagenda. Lebih menyeronokkan tatkala kenderaan kami merentasi bukit-bukau, jalan berliku serta selekoh tajam!
Pintu Masuk Kem Permai
Bagi pengunjung yang membawa kenderaan sendiri, pakir kereta disediakan dengan pengawasan 24 jam. Setiap pengunjung akan dikenakan bayaran masuk mengikut kadar dan peringkat umur yang dianggap berpatutan. Di kaunter  pintu masuk ke Kem Permai, terdapat kedai menjual cenderahati berupa pakaian, kraftangan, kuih tradisional dan lukisan.

Kadar Bayaran Masuk
Ini bukanlah kunjungan yang pertama buat geng Kaki Kayo. Malah, bukan juga yang kedua tetapi yang keempat selepas kali terakhir pada 8 tahun lepas. Dari luaran tidak banyak yang berubah. Masih menghijau nan meluas. Sewajarnya anugerah Ilahi ini harus dijaga dan dikekalkan agar manfaatnya turut dirasai oleh generasi yang akan datang.

NO. 17 - Penginapan Kaki Kayo
Usai mendaftar, Kaki Kayo menuju ke chalet yang telah ditempah seminggu lepas. Bahang panas tidak dirasai lantaran dipayungi oleh pepohon yang merimbun di sepanjang laluan ke chalet kami. Halwa telinga kami turut disajikan dengan nyanyian unggas, cengkerik, burung serta hembusan bayu laut yang mendamaikan. Pukulan sang badai juga sayup kedengaran. 10 minit berjalan kami telah sampai ke chalet No.17 yang dilengkapi dengan kemudahan bilik air, peti sejuk, penghawa dingin, cerek elektrik serta set ruang tamu. Chalet yang mempunyai 2 bilik tidur ini sesuai sekali untuk pengunjung yang menginap bersama keluarga ataupun secara berkumpulan seperti Kaki Kayo. Selain chalet, di Kem Permai ini turut menyediakan pelbagai variasi tempat penginapan. Antaranya Tree House, Long House, Log Cabin dan "camp site" bagi yang ingin berkhemah. Terpulang kepada pengunjung untuk memilih, mengikut kesesuaian dan bajet masing-masing.
Tree House
Kami berehat sebentar bagi menghilangkan lelah. Semetelahan lagi, keadaan di luar masih panas andai ingin ke pantai. Kesempatan ini digunakan untuk meninjau keadaan sekeliling. Cuaca yang baik membantu kami menikmati sepuasnya keindahan alam di Kem Permai. Terdapat beraneka flora yang menghiasi persekitaran, dari yang genit hinggalah sebesar balak. Dari yang amat dikenali kepada yang tidak pernah didengari namanya. Dari yang berdiri tegak kepada yang habitatnya menjalar. Tidak kurang juga dengan kehidupan fauna. Siamang, serangga, ular, burung turut menampakkan kelibat.
Laluan di Kem Permai
Jam 5.30 petang kami menuju ke Pantai Damai, pantai yang menyatukan Kem Permai dan Damai Puri Resort yang hanya terletak bersebelahan. Hembusan bayu yang longlai mencipta ombak yang perlahan, sesuai untuk acara air dalam cuaca yang kering begini. Selain mandi-manda, menyelusuri pantai dan bermain bola, terdapat aktiviti-aktiviti sampingan yang disediakan oleh pihak pengurusan Kem Permai kepada pelawat dengan kadar berpatutan. Antaranya Coastal Kayaking, Night Kayaking, Boat Trips, Banana Boats, Dolphin Watching at Satang Island dan Mangrove Tours.
Pantai Damai @ 1st Beach
Untuk aktiviti di darat atau 'outdoor' pengunjung boleh mencuba Wall Climbing, Trekking Expedition, High Rope Course, Low Rope Course, Birds Watching Tower dan mendaki gunung Santubong. Semua aktiviti tersebut akan disertakan perkhidmatan jurulatih atau penunjuk jalan.

Selain aktiviti-aktiviti yang disediakan di dalam Kem Permai, pelancong juga boleh menjelajah ke tempat-tempat berhampiran kem. Antaranya, Kampung Budaya Sarawak, Damai Central dan Pantai Puteri, yang boleh dijejaki dengan hanya berjalan kaki.

Pada sebelah malam, pengunjung boleh memilih samada untuk berbeku atau menjamu di Rainforest Cafe yang dibuka sehingga jam 10 malam. Bagi Kaki Kayo, kami  merancang untuk mencuba makanan laut di salah sebuah restauran yang terletak di tepi jalan menuju ke Kem Permai. Sebagai info, Kampung Buntal yang berada 10km dari Kem Permai juga  terkenal dengan restauran-restauran makanan lautnya.


Aksi Team Kaki Kayo Di Beach Seafood Restaurant
Menu pilihan Kaki Kayo  di restauran berkenaan adalah Ikan Kerapu Masak Tiga Rasa, Udang Masak Mentega, Ketam Masak Cili, Sup Timun Laut, Ambal masak kari, Sayur Campur, Sotong Kicap dan buahan sebagai pencuci mulut. Air kelapa muda serta jus buahan sebagai penghilang dahaga.

Setelah kekenyangan, seterusnya Kaki Kayo mengorak langkah ke Damai Central. Taman yang baru berusia 2 tahun ini memberi dimensi baru kepada pelawat yang gemar beriadah pada waktu malam. Terdapat tempat-tempat yang berunsurkan 'happennig' di sini. Kami hanya bersantai sambil menikmati keindahan landskap dan bayu laut. Penataan cahaya neon yang menarik menambah seri panorama malam itu.
Damai Central 
Setelah puas merentasi Damai Central di kala malam bulan mengambang, kami kembali ke chalet. Bagi memenuhi waktu terluang, kami bermain Dam Belon (Dam Kapal Terbang) sambil menonton movie (menggunakan laptop). Keriangan kami sedikit terganggu tatkala seorang rakan terperangkap di dalam bilik mandi kerana tombol pintu rosak (apa motif mandi tengah-tengah malam begini da). Suasana malam yang tenang dan selesa dek penghawa dingin, membuatkan tidur kami nyenyak waima bunyi "kuruh" bersimpang-siur.


Sarapan Di Rainforest Cafe
Keesokan paginya, kami bersarapan dahulu di Rainforest Cafe sebelum menyambung aktiviti selanjutnya. Kafe yang dibuka antara jam 0700-1000 (sesi sarapan) ini menyediakan menu barat dan tempatan sesuai dengan selera pelancong yang datang dari pelbagai latar belakang. Destenasi kami pagi ini adalah 2nd Beach yang hanya memakan masa 10 minit berjalan.


2nd Beach
Di 2nd Beach, pantainya tidak selandai dan seluas Pantai Damai. Bebatuan yang bertebaran di sepanjang pantai amat unik, seolah di sini pernah berlaku letupan, dahulu kala. Lekuk dan lubang pada bebatuan tersebut turut menjadi tanda tanya, bagaimana ianya berlaku? Warna pada bebatuan itu juga beraneka, mengapa begitu rupa? Pelik tapi menarik dengan cara tersendiri. Kami turut bermandi-manda di sini. Merasa sejuk dan masin airnya.

Selesai aktiviti bergambar di 2nd Beach, Kaki Kayo pulang ke chalet. Kami singgah dahulu di Jungle Pool (kolam buatan) untuk membersih diri dari air masin.
Jungle Pool
Kolam ini juga telah melalui proses perubahan. Dahulunya kecil, namun kini terdapat dua bahagian yang berbeza kedalamannya. Sekitar kolam turut ditempatkan bangku dan kaki lima. Keadaan air juga bersih, kurang kelodak yang diakibatkan oleh dedaun yang gugur dari pokok-pokok sekeliling. Masa membataskan aktiviti kami di sini. Setelah puas bermain air, kami kembali ke chalet untuk berkemas pulang. 
Aksi Team Kaki Kayo- Jangan Ditiru
Sahabat Selamanya - Terbang sama tinggi, mendarat sama rendah

"Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Rabu, 24 Oktober 2012

AIR TERJUN JANGKAR - RAHSIA HUTAN JANTAN

Pada edisi pengenalan ini, Air Terjun Jangkar menjadi lokasi pertama catatan perjalanan Kaki Kayo. Barangkali masih ramai warga Sarawak yang belum pernah mendengar tentang Air Terjun Jangkar. Namun Kaki Kayo percaya tidak kurang juga bilangan yang telah menikmati keindahan air terjun yang berada di bawah jajahan Kampung Jantan, Lundu ini. Diharapkan juga catatan ini mampu memberi info berguna kepada pembaca sekalian terutama kepada yang merancang hendak menawan air terjun setinggi 60 meter ini pada waktu terdekat.

Bertarikh 21 Oktober 2012, perjalanan Kaki Kayo bermula seawal jam 8 pagi menggunakan Jalan Matang-Jalan Batu Kawah, terus menuju ke persimpangan Lundu-Bau. Perjalanan mungkin terasa sedikit terencat kerana di beberapa lokasi terdapat kerja-kerja penembangan hutan bagi menumbuhkan ladang-ladang kelapa sawit. Bukit-bukau yang dahulunya hijau kini gondol diratah oleh jentolak.  Pengorbanan untuk sebuah pembangunan. Berbaloikah?...
Jalan Tar yang baharu
Memasuki Jalan Biawak (sempena nama Kampung yang berada di hujung jalan yang bersempadan dengan Kalimantan), kami sedikit terkejut dek keadaan jalan yang baru berturap. Menurut rakan-rakan yang pernah ke sini, dikatakan keadaan jalan tidak berapa elok kerana masih didasari batu kasar, berdebu dan berlopak tatkala hujan. Justeru Kaki Kayo telah siap siaga terlebih dahulu, lantas menggunakan jentera 4WD, Toyota Hilux dan Nissan X-Trail bagi menempuh perjalanan yang dijangka mencabar. Barangkali tuah kami, perjalanan lancar walaupun masih terdapat jalan berbatu runjam dan tidak bertar di beberapa bahagian.

Jalan Batu
Sesampai di Kampung Jantan, beberapa orang pemandu arah sedia menunggu di sebuah kedai di jalan masuk ke Air Terjun Jangkar walaupun kami tidak membuat sebarang temujanji. Begitulah rutin mereka, tetap menunggu biarpun belum pasti samada hari tersebut terdapat pengunjung yang ingin mendaki atau tidak. Selepas bersetuju dengan caj perkhidmatan, RM10 seorang dan parkir RM5 untuk sebuah kereta, Kaki Kayo memulakan langkah tepat jam 9 pagi, dikepalai oleh Pemandu Arah bernama Kapik.

Meredah Kebun Getah
Ekpedisi bermula dengan merentasi kebun-kebun getah yang landai tetapi adakalanya membukit sebelum sampai ke sebuah pondok menunggu durian gugur. Dari pondok ini, para pengunjung boleh memilih samada menggunakan jalan hutan atau jalan sungai. Memandangkan semua anggota Team Kaki Kayo adalah jantan belaka, Kapik menyarankan kami menggunakan jalan sungai kerana ianya lebih mencabar. Tanpa berfikif panjang kami menyahut cabaran Kapik di samping berasa teruja dengan  dugaan yang bakal ditempuhi nanti.

Sampai ke tebingan sungai, sebaik melihat kepada bongkah-bongkah batu yang besar saujana mata memandang, yakinlah kami bahawasanya perjalanan yang akan dihadapi amat berliku. Ketika melewati halangan-halangan tersebut, ada antara anggota Kaki Kayo terpaksa membuka kasut bagi mengelak dari tergelincir dan kebasahan lantaran batu yang berlumut dan sekali-sekala menongkah arus.

Laluan Sungai
Kekadang kami terpaksa merangkak dan meniarap bagi mengimbangi badan ketika mendaki tebingan batu yang tinggi lagi curam. Terdapat rakan yang terpaksa menggunakan kayu sebagai tongkat untuk membantu pergerakan dan menambah kekuatan (kes kurang stamina..hehehe). Ada juga yang kejang otot. Bagi yang gayat, inilah antara cabaran yang perlu diatasi. Jelas keletihan terpancar pada setiap wajah anggota Kaki Kayo namun berbekalkan semangat untuk menawan Jangkar setiap rintangan kami redah dengan tabah (ye ke tabah?).

Sepanjang perjalanan kami terpaksa berhenti rehat beberapa kali bagi melepaskan kepenatan. Sesungguhnya pendakian ke Air Terjun Jangkar menguji stamina, kemahiran mendaki dan kesabaran. Semangat berpasukan juga penting dalam membantu memotivasikan rakan yang telah mula berputus asa atau setidaknya menolong menyandang bebanan yang dibawa. Kepada pembaca yang tidak mempunyai kombinasi di atas, disarankan menggunakan jalan lain tetapi bagi mereka yang meminati cabaran belantara, anda pasti menyukainya!

Perjalanan Masih Jauh Lagi Mencabar
Biarpun kelelahan menyelubungi setiap sendi dan denyut nadi kami, seperkara yang membangkitkan keterujaan ekpedisi ini adalah persembahan alam yang begitu mempesonakan. Berlatarbelakangkan kehijauan hutan hujan yang masih segar sambil diiringi hembusan bayu hutan, deruan air yang mengalir perlahan dan kekadang deras, lalu menghasilkan irama asyik, lantas ianya menjelmakan suasana yang amat mendamaikan.

Sungai Ku Mengalir


Akhirnya, hampir satu jam perjalanan meredah laluan sungai, kami sampai ke destinasi yang dituju. Tanpa berlengah, kami menikmati sepuasnya keindahan yang disajikan oleh Air Terjun Jangkar.


Air Terjun Jangkar

Menyejukkan Badan
Flora Liar


Flora Tak Bernama
BBQ Kepak Ayam Dan Sosej Untuk Santapan Tengahari
Setelah lebih 2 jam bersantai sambil menikmati keindahan Air Terjun Jangkar dan sekitar, Kaki Kayo berkemas pulang. Walaupun lelah belum kebah serta hati belum puas, kami harus melangkah pergi kerana khuatir tatkala awan gelap mula menyelubungi langit. Jejak tentu makin sukar andai pulang bersama hujan. Pastinya, lantai hutan menjadi becak, permukaan batu kian licin serta pemandangan akan samar.

Tersemat di lubuk hati, Kaki Kayo berhasrat akan kembali ke sini lagi kerana masih terdapat 6 peringkat  ketinggian Air Terjun Jangkar yang belum sempat didaki, sedang menunggu. Perjalanan balik kami melalui jalan hutan dan semestinya halangan tidak seperti tatkala mendaki. Lebih kurang 40 minit, Kaki Kayo telah sampai ke parkir kereta.

Misi Berjaya - Jalan Kembali
Sesungguhnya alam adalah sahabat. Ia memberi udara segar, menyediakan keharmonian, menyajikan kedamaian, menguji jati diri, menigkatkan kesabaran, membuahkan kecintaan, menerbitkan kesyukuran, memayungi kehidupan dan melindungi kemanusiaan. Andai kita tidak mahu kehilangan keistimewaan yang dianugerahkan oleh alam, bersama-samalah menjaga kelansungannya....Peace No War...